Image Hosted by ImageShack.us

- Berita Nasional -


Sekolah Bukit Rokan bina padang golf


TAMPIN: Sekolah Kebangsaan Bukit Rokan Utara (SKBRU) di sini, melakar sejarah apabila menjadi sekolah rendah pertama di negeri ini membina padang golf dalam usaha memperkenalkan sukan itu di kalangan muridnya yang kebanyakan anak peneroka Felda.



Kerja asas pembinaan padang golf yang membabitkan perbelanjaan hampir RM100,000 itu diusahakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan serta Felda. Dimulakan awal tahun lalu dan dijangka siap tahun depan.



Projek itu yang dijangka menjadi tarikan unik di SKBRU, diusahakan selepas kawasan seluas 2.5 hektar berhampiran sekolah itu dikenal pasti sesuai untuk dijadikan padang golf.



Guru Besar SKBRU, Abdul Rahman Abdul Samad, berkata pembinaan padang golf sembilan lubang itu mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).



“Cadangan mempunyai padang golf sendiri timbul apabila sekolah ini mula menyertai pertandingan kriket bawah 12 tahun sehingga berjaya menjadi johan kebangsaan selama empat tahun berturut-turut.



“Pihak sekolah ingin memperkenalkan pula sukan golf kepada anak-anak peneroka yang ramai belajar di sekolah ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.



Abdul Rahman berterima kasih kepada pengurusan Felda wilayah dan negeri kerana menjalankan kerja asas seperti menebang pokok serta meratakan tanah bagi merealisasikan hasrat berkenaan.



Pembinaan padang golf itu turut mendapat sokongan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor yang juga Ahli Parlimen Tampin dan Adun Gemencheh, Mohd Kamil Abdul Aziz.



Bagi menampung kos menanam rumput serta menimbus pasir di kawasan tertentu di padang golf itu, sekolah berkenaan memohon sumbangan daripada enggemar sukan golf serta badan korporat.


Anda Boleh ikuti Komen - komen pembaca mengenai reaksi ini di :


KLIK DI SINI - KOMEN PEMBACA

No comments: